Akademi Fantasia (musim 6)
Akademi Fantasia (musim 6)

Akademi Fantasia (musim 6)

Akademi Fantasia Musim 6 ialah musim keenam bagi rancangan Akademi Fantasia yang disiarkan di saluran Astro Ria. Slogan komersial bagi musim ini ialah "Serlahkan Bakat Superstar Dalam Diri Anda". Berbeza dengan musim sebelumnya, kali ini Akademi Fantasia terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 – 45, tidak seperti tahun sebelumnya yang hanya terbuka kepada peserta yang berumur 18 – 29 tahun.[1][2] Ujibakat telah diadakan di 5 buah bandar utama di seluruh Malaysia dan juri-juri memilih 25 daripada mereka yang paling terserlah dan sesuai untuk diambil sebagai calon pelajar Akademi Fantasia. Kemudian, terdapat satu kursus bina diri yang dianjurkan untuk mendidik dan menonjolkan disiplin calon sebelum pemilihan 14 orang daripada mereka untuk diserap sebagai pelajar Akademi Fantasia musim ke-6. Juara musim keenam kali ini dimenangi oleh Stracie Angie Anam yang berusia 18 tahun yang berasal dari Penampang, Sabah. Kemenangan beliau juga mencipta sejarah apabila beliau menjadi juara pertama yang berasal dari Sabah yang memenangi takhta juara setelah lima musim yang lalu takhta juara didominasi oleh pelajar daripada Semenanjung. Stacy juga merupakan juara wanita kedua selepas kemenangan Mila pada musim kelima, sekaligus mengekalkan takhta juara dimenangi oleh kaum wanita selama dua musim berturut-turut.